Februari 19, 2009
Penulis asal adalah Prof. Madya Dr. Mohsen Mohammad Saleh dan telah diterjemahkan oleh Dr. Hanafi Hj Dollah. Satu bahan yang mesti baca!
1. Di manakah Palestin?
Palestin merupakan suatu nama yang digunakan untuk wilayah barat-daya negara Syam. Ia bersempadan dengan laut Mediteranian dan terletak di barat benua Asia. Palestin dianggap titik pertemuan Asia dan Afrika dan berdekatan dengan benua Eropah. Bahagian utara Palestin bersempadan dengan Lubnan, manakala Syria di timur laut, Jordan di timur dan Mesir di selatan. Ia berada di kawasan yang beriklim mediteranian dan keluasan Palestin di waktu kini dianggarkan seluas 27,009 km persegi.
Bumi Palestin juga dianggap salah satu penempatan tertua di dunia. Malahan penemuan ahli-ahli arkeologi telah membuktikan bahawa tempat ini merupakan penempatan pertama yang mengalami perubahan daripada kehidupan nomad kepada kehidupan tetap dan bercucuk tanam sejak 9000 tahun sebelum Masihi. Bahkan bandar tertua di dunia, Jericho telah dibina di Palestin sejak 8000 tahun sebelum Masihi dan sehingga kini masih dianggap sebagai bandar yang di datangi dan dipenuhi dengan pelbagai tamadun manusia yang gemilang.
2. Apakah istimewanya Palestin kepada umat Islam?
Bumi Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam hati setiap orang Islam. Jika dirujuk kepada al-Quran dan sunnah :
- Bumi ini dianggap suci dan diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi qiblat pertama untuk orang Islam dan merupakan masjid yang ke 3 paling suci bagi orang Islam. Barangsiapa yang bersolat di masjid ini akan mendapat 500 kali ganda pahala.
- Di bumi ini jugalah kejadian Isra’ (Perjalanan Malam) berlaku, di mana Nabi Muhammad melakukan pengembaraan malam yang penuh keajaiban ke langit.
- Bahkan ramai para anbiya? yang disebut di dalam al-Quran, telah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan di bumi ini (lebih 50 orang kesemuanya). Semoga Allah memberkati mereka semua.
- Berdasarkan perspektif Islam, tempat ini merupakan padang Mahsyar selepas Kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat.
- Orang yang tinggal di sana kerana Allah diibaratkan seperti orang yang berjihad di jalan Allah.
- Bumi Palestin juga dianggap sebagai pusat untuk kumpulan-kumpulan yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga ke hari kiamat.
3. Apakah keistimewaannya kepada agama lain ?
Bumi Palestin juga merupakan bumi yang suci kepada bangsa Yahudi dan Nasrani. Yahudi menganggapnya sebagai bumi yang dijanjikan oleh tuhan (Yehovah) kepada bangsa Yahudi.Menurut iktikad mereka, di situlah tempat berlakunya peristiwa-peristiwa bersejarah mereka dan tempat pengebumian nabi-nabi mereka. Kota suci mereka berpusat di bandar al-Quds yang dipercayai nabi Sulaiman pernah membina Haikalnya dan al-Khalil (Hebron) di mana terdapat makam nabi Ibrahim.
Manakala, bagi penganut agama kristian pula, mereka menganggapnya sebagai tempat bermulanya agama mereka. Di situlah Nabi Isa dilahirkan dan berdakwah. Markaz-markaz keagamaan mereka yang berada di Palestin seperti al-Quds (Jerusalem), Baitul-Laham dan Nazareth. Di sana jugalah terdapat Gereja Kiamah (Church of Nativity) yang dipercayai sebagai tempat kelahiran nabi Isa A.S.
4. Siapakah penduduk Palestin ?
Bangsa berketurunan al-Kan?aniyyah merupakan bangsa terawal yang pernah menduduki bumi Palestin. Mereka datang daripada Semenanjung Tanah Arab sejak 4500 tahun tahun dahulu. Sejak itu, tempat ini dikenali sebagai Bumi Kan’an. Rakyat Palestin sekarang ini berasal dari keturunan Kan’an, iaitu bangsa dari masyarakat timur laut Mediteranian yang dikenali sebagai Filistin dan dari bangsa Arab yang berkahwin campur dengan Filistin.
Walaupun Palestin sentiasa diperintah oleh pelbagai bangsa dan kumpulan dalam beberapa tempoh, namun rakyatnya yang asal terus duduk di situ dengan aman. Apabila Islam muncul, majoriti daripada orang Palestin ini telah memeluk agama tersebut, dan perlahan-lahan mengadaptasi bahasa Arab sebagai bahasa utama mereka, selaras dengan kepesatan perkembangan agama Islam di sana.
Bahkan, identiti Islam di bumi Palestin tetap berdiri kukuh dan berpanjangan sepanjang sejarah Islam, bermula dengan penaklukan kuasa Islam pada tahun 15 hijrah (636 M) sehingga sekarang, dan kebenaran fakta ini tetap tidak boleh dinafikan walaupun sebahagian besar penduduk Muslim Palestin (yang dianggarkan seramai 6 juta) telah dihalau oleh pihak Zionis semenjak 1948 dan menjadi pelarian di dalam dan di luar Negara mereka.
i'm waiting for homework....hahaha..
ReplyDeletexde r,gurau je...
salam ziarah~
anih=norhanim
info yang berguna
ReplyDelete